Rekreasi & Pelancongan

Pertanian

Di kebanyakan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), getah dan kelapa sawit menjadi tanaman utama di kalangan peneroka FELDA termasuklah peneroka di FELDA Bukit Tembaga yang turut mengusahakan tanaman getah sebagai tanaman utama. Sebagai peneroka FELDA, penerokanya mendapat pelbagai bantuan dan subsidi daripada FELDA seperti baja, benih dan sebagainya. FELDA juga bertanggung jawab untuk membeli hasil getah daripada para peneroka yang kemudiannya menjual kepada kontraktor atau pemborong yang telah dilantik. Cara ini lebih baik dan memudahkan para peneroka untuk memasarkan atau menjual hasil ladang masing-masing berbanding jika dilakukan secara sendirian. FELDA Bukit Tembaga bergantung kepada hasil getah kerana getah merupakan tanaman utama di sini. Sebagai peneroka, kerja-kerja menoreh getah dilakukan sendiri saban hari dengan bantuan ahli keluarga terdekat. Di sinilah wanita sebagai isteri kepada peneroka memainkan peranan penting yang turut membantu kerja-kerja di ladang. Peneroka mempunyai pilihan sama ada untuk menjual getah keping atau getah sekerap. Pada masa-masa tertentu ada juga di kalangan peneroka yang menjual susu cair kepada pemborong-pemborong yang dilantik oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Melalui jualan hasil getah dapatlah peneroka menampung perbelanjaan keluarga walaupun pada masa-masa harga getah tidak sebaik harga kelapa sawit.