Rekreasi & Pelancongan

Pelancongan

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI PADANG TERAP

HUTAN LIPUR PUNCAK JANING  
Hutan Lipur Puncak Janing terletak kira-kira 10 kilometer dari FELDA Bukit Tembaga dan kira-kira 14 kilometer dari Pekan Kuala Nerang. Hutan lipur ini terletak di Hutan Simpan Bukit Perangin. Untuk sampai ke sini pengunjung bolehlah menaiki kenderaan sendiri atau menyewa teksi dari Pekan Kuala Nerang. Hutan lipur tersebut mempunyai sebuah air terjun setinggi empat tingkat yang dikelilingi kehijauan pohon-pohon selain mempunyai susunan batu bata yang menarik. Keindahan landskap air Sungai Janing yang mengalir di sepanjang dua kilometer sesuai untuk aktiviti bermandi-manda dan berkelah. Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, bolehlah mencuba mendaki Puncak Janing dan berkhemah di kawasan yang telah ditetapkan. Di samping melakukan aktiviti lasak, pengunjung berpeluang melihat pemandangan menarik pokok kasai (Pometia spp), meranti tembaga (Shorea Leprosula Miq) dan palma (Arecaceae). Pengunjung juga boleh menyusuri denai sepanjang kira-kira 15 kilometer yang menghubungkan hutan Lipur Puncak Janing dan Hutan Lipur Bukit Wang. Pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung turut disediakan di situ seperti dewan, surau dan padang untuk aktiviti permainan berkumpulan. Selain itu, terdapat juga kawasan rehat dan tandas awam untuk kegunaan orang ramai.
   
TASIK PEDU  
Merupakan kawasan tasik buatan bagi menampung penjanaan tenaga elektrik hidro. Tasik ini juga merupakan geoekonomi utama bagi daerah Padang Terap dan negeri Kedah. Terkenal dengan keindahan alam semulajadinya. Tasik ini terletak kira-kira 115 kilometer daripada susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan Alor Star/ Utara atau kira-kira 40 kilometer dari pekan Kuala Nerang. Kawasan yang jauh dari kesibukan bandar dimana bersesuaian dengan pengunjung yang ingin mencari kedamaian dan ingin menenangkan diri dari kesibukan tugasan seharian.Juga kawasan yang menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapat pelbagai spesis ikan air tawar disini. Sejajar dengan itu, terdapat kemudahan disediakan disini. Antaranya ialah kawasan perkhemahan, bot sewa bagi kaki pancing,rumah bot “houseboat” dan sebagainya lagi.
   
CHAROK BATANG PADI  
Charok Batang Padi dikenali sejak tahun 60-an lagi. Menurut pendapat masyarakat dahulu kala, di kawasan Empangan Pedu, terdapat beberapa carok. Salah satu adalah Charok Batang Padi yang berhampiran dengan perkampungan melayu di kawasan Mung Gajah. Tetapi kampung yang wujud pada ketika itu, telah terhapus dek ditelan oleh air Empangan Pedu. Bukti wujudnya perkampungan di kawasan tersebut pada suatu ketika dulu, apabila air empangan surut penduduk sekitar terlihat beberapa buah kubur di dasar empangan tersebut. Itu menunjukkan bahawa perkampungan tersebut memang wujud pada suatu ketika dahulu. Selepas dari kejadian itu, nama carok tersebut dikekalkan dengan nama “Charok Batang Padi”. Kini carok tesebut dijadikan kawasan rehat dan memancing yang di Daerah Padang Terap.
   
PUSAT MINDA DUSUN RESORT  
Salah satu tempat untuk diadakan kem motivasi pelajar di daerah Padang Terap. Ianya juga merupakan salah sebuah pusat latihan bagi Program Latihan Khidmat Negara. Kawasan ini adalah tempat yang paling sesuai diadakan sebarang kem kerana inisiatifnya yang pelbagai. Diantara inisiatif yang disediakan adalah seperti tapak perkemahan, tasik buatan untuk berkayak, laluan lasak, chalet dan sebagainya lagi. Selain itu, persekitarannya seolah berada di kebun buah-buahan akan menggamit memori kepada sesiapa sahaja yang datang kesini.
 
   
JERAM TOK DIN  
Jeram Tok Din adalah satu nama yang wujud sejak tahun 90-an lagi dan sehingga kini nama tersebut dikekalkan. Pada dahulu kala, tempat peranginan tersebut hanyalah tempat kanak-kanak di kampung tersebut bermain. Pada ketika itu, Jeram Tok Din tidak menjadi tumpuan orang ramai dan hanya menjadi tumpuan orang Kampung di situ sahaja. Sehingga akhir tahun 1992, Raja Muda Kedah telah dibawa melawat dan berkelah di kawasan Jeram tok Din tersebut. Selepas dari itu, nama Jeram Tok Din menjadi popular di sekitar Padang Terap dan kawasan lain di Negeri Kedah. Antara kemudahan yang disediakan adalah tempat rehat dan tempat riadah. Berbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya berakit, berkayak dan berkelah.
 
   
PANGKALAN TOK MAS  
Pangkalan Tok Mas telah ditubuhkan oleh Hj Idris Bin Ibrahim atau dikenali dengan nama Pakcik Yeh. Nama Pangkalan Tok Mas adalah sempena dengan nama isterinya. Tempat peranginan tersebut diwujudkan sejak tahun 2007 lagi dan mula beroperasi secara meluas bermula pada awal tahun 2008. Pangkalan Tok Mas tersebut telah dirasmikan oleh Bekas Menteri Besar kedah iaitu Dato’ Seri setia Diraja Mahadzir Bin Khalid. Dalam perasmian tersebut sebanyak 3 ekor kambing telah dikorbankan dalam majlis tersebut.
   
SEMELIANG AGRO FARM  
S emeliang Agro Farm Resort terletak di dalam Kampung Semeliang, Kuala Nerang,Kedah , di mana ia telah terpilih menjadi salah sebuah destinasi perlancongan menarik. Di Semeliang Agro Farm ia menfokuskan kepada 3 kompenen iaitu pusat ternakan rusa, agro perlancongan dan produk berasaskan rusa menjadikan tempat ini bervariasi dengan pelbagai keunikan kepada pengunjung yang melawat Semeliang Agro Farm menawarkan percutian chalet yang istimewa yang berkonsepkan percutian dalam ladang dimana pengunjung dapat merasai kedamaian kampung dengan kicauan pelbagai jenis burung dan kokokan ayam yang eksotik yang akan menjadi penyeri hari-hari percutian anda. Jika satu masa dahulu rusa mungkin dianggap liar kerana habitanya di hutan belantara, namun di Semeliang Agro Farm rasai pengalaman bersama rusa yang jinak dimana para pengunjng dapat “selfie” dan memberi makanan dengan rusa-rusa yang jinak. Bukan itu sahaja, bagi mereka yang ingin merasai kelazatan daging rusa, Semeliang Agro Farm adalah tempat yang tepat untuk anda mendapatkan daging rusa yang segar.

Justeru itu, Semeliang Agro Farm menawarkan pelbagai kemudahan seperti restoran, kedai cenderamata, bilik persidangan, chalet, kawasan BBQ, tapak perkhemahan, dan lain-lain untuk memenuhi keperluan peribadi anda. Memandangkan perjalanan ke Semeliang Agro Farm dari bandar Alor Star hanya mengambil masa 40 minit, ini menjadikannya suatu tempat yang amat sesuai bagi pelancong untuk melarikan diri dari kehidupan yang sibuk. Para pelancong juga berpeluang untuk menikmati gaya hidup yang berbeza serta dapat menerokai pelbagai jenis aktiviti rekreasi di Semeliang Agro Farm yang tidak terdapat di bandar. Pengunjung juga boleh bermandi-manda di kolam buatan dari sumber air telaga yang dipam. Kadar bayaran hanya serendah RM 3.00 seorang.
   
CHALET BAYU NAKA  
Jika anda ingin merasai percutian dalam kawasan dusun buah yang tenang dan damai di samping pelbagai aktiviti menarik disediakan, bolehlah memilih Chalet Bayu Naka sebagai destinasi pilihan anda sekeluarga. Terletak di Kampung Kubang Juluk, Naka iaitu salah sebuah kampung yang terpencil di daerah Padang Terap. Pemiliknya merupakan anak tempatan Naka iaitu Encik Abdullah bin Abdul Rani merupakan seorang guru sekolah. Di sini pengunjung boleh mendapatkan pelbagai kemudahan seperti homestay dalam dusun yang ternyata mendamaikan hati pengujung. Selain itu, pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan disini seperti mengutip buah-buahan tempatan di didusun ini tanpa sebarang caj tambahan, menaiki motor lasak ATV, kolam mandi untuk kanak-kanak, memanah dan buggy.